Thursday 2 October 2014

7 Wasiat Raja

7 WASIAT RAJA-RAJA MELAYU:SATU ANALISIS SEJARAH DAN PERLEMBAGAAN NEGARA MALAYSIA.

Pengenalan:
Pada 5 Ogos 2011,Raja Muda Perak Raja Nazrin Shah,telah mengingatkan rakyat  tentang Wasiat Raja-raja Melayu,yang telah ditulis pada ketika Raja-raja Melayu menurunkan tandatangan mereka untuk menyokong kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu yang dicapai pada 31 Ogos 1957.Wasiat Raja-raja Melayu itu dengan sendirinya menunjukkan perhatian mereka terhadap masa depan rakyatnya dalam sebuah Negara yang merdeka.Wasiat Raja-Raja Melayu tidak pernah dizahirkan secara terbuka sebagai satu peringatan kepada rakyat.Ini kerana selama ini institusi Raja-Raja telah diterima secara pemerintahan,pentadbiran dan sosio-budaya masyarakat Malaysia tanpa ada apa-apa cabaran.Namun,dalam perkembangan terakhir ini  kedudukan Raja-Raja mula diperkatakan dengan perpektif yang salah dalam media baru dan media sosial,sehingga  imej dan perspektip terhadap institusi raja itu tercabar.Raja-Raja Melayu sendiri terpaksa  mempertahankan institusi itu dengan  menyatakan pendirian dan kedudukan mereka didalam perlembagaan dan dalam masyarakat.Salah satu cara untuk mengingatkan rakyat tentang hal itu adalah dengan mengeluarkan semula  7 Wasiat Raja-Raja Melayu ini.

Mengapa 7 Wasiat Raja –Raja Melayu dizahirkan?

Kebimbangan Raja-raja Melayu terhadap keadaan masa depan rakyatnya terhadap cabaran-cabaran politik dan perpaduan mereka ,adalah sangat berasas sekali.Dengan kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu itu bererti Raja-raja Melayu telah melepaskan pentadbiran dan pengurusan negeri dan Negara kepada rakyat jelata.Dalam konsep Raja Berperlembagaan yang diamalkan selepas kemerdekaan,Raja-raja tidak lagi berhak untuk memilih  pentadbir-pentadbir negeri dan Negara.Kini pilihan itu dibuat oleh rakyat dalam pilihanraya  yang dijalankan selama 5 tahun sekali.Orang ramai berhak memilih sesiapa sahaja yang difikirkan sesuai pada pandangan mereka sebagai kerajaan untuk mengurus dan mentadbir Negara.Dengan itu kuasa mutlak Raja dalam pentadbiran telah ditiadakan;kuasanya hanya melantik Perdana Menteri,Jemaah Menteri dan Menteri Besar daripada parti yang mendapat suara majoriti dalam pilihan Parlimen ataupun Negeri.Dengan itu ,melalui Wasiat ini,Raja-raja Melayu boleh mengingatkan rakyat tentang perlunya menguruskan pentadbiran negeri dan Negara dengan tidak meninggalkan perkara-perkara yang disebutkan dalam Wasiat itu.

Kedua,7 Wasiat Raja-Raja Melayu itu ingin menegaskan bahawa semua perkara yang dituntut untuk dijaga dan dipelihara adalah asas-asas tamadun kerajaan –kerajaan Melayu yang telah bertapak di Tanah Melayu sejak beratus tahun yang lalu,lama sebelum kedatangan barat dikawasan ini.Kerajaan-kerajaan Melayu yang terbentuk dan berkembang maju dan digantikan pula oleh kerajaan Melayu yang lain diseluruh Alam Melayu atau Kepulauan Melayu ini ,adalah penegak tamadun bangsa yang penting.Mereka sentiasa berhubung dan bertanding kuasa untuk menjadi hebat dan menguasai perairan dan Kepulauan Melayu ini.Ciri penting mereka sebagai penegak tamadun bangsa ialah sistem pentadbirannya,bahasa dan kesusasteraannya dan agama Islam yang disebarkan melalui perdagangan,perkahwinan,  penaklokan dan penubuhan pusat pengajian dengan para ulama yang tersohor.Tidak kurang juga sistem perdagangan yang hebat dengan barang dagangannya menjadi rebutan seenterio dunia.Kesultanan Melayu Melaka tidak akan ditaklok oleh Portugis jika ia tidak sehebat itu.Belanda dan British juga tidak akan menguasai Tanah Melayu dan Kepulauan Melayu yang lain jika mereka tidak makmor ekonominya.Kewujudan kerajaan-kerajaan  sejak beratus- beratus tahun itu juga telah membolehkan tamadun yang dibena menjadi mantap dan kuat.Walaupun sejarah telah menelan mereka,namun asas-asas tamadun yang dibena dapat bertahan sehingga kini melalui tindakan-tindakan positib Raja-raja itu.Dengan itu 7 Wasiat Raja-raja Melayu adalah satu tindakan peringatan kepada rakyatnya untuk terus mendokong pencapaian penting kerajaan-kerajaan Melayu terdahulu.(1)

Ketiga,Raja-raja Melayu ingin menentukan bahawa pembelaan dan perlindongan keatas rakyatnya, terutama orang Melayu akan berterusan demi menjaga keharmonian dan keamanan masyarakat dan Negara.Pembukaan kerakyatan Persekutuan Tanah Melayu kepada semua bangsa yang lahir di Tanah Melayu telah menambahkan jumlah penduduk Tanah Melayu dengan begitu ketara sekali.Tambahan pula ada  peruntukan kerakyatan secara Permohonan,yang begitu mudah diisi oleh  kaum imigran.Jika dalam Pilihanraya 1955,jumlah pengundi Melayu ialah 84.2 peratus,tetapi dalam Pilihanraya 1959,peratus undi orang Melayu menjadi  55 peratus sahaja.Ini bermakna pembukaan kerakyatan kepada semua kaum,telah melemahkan kuasa politik orang Melayu.Keadaan ini amat membimbangkan Raja-raja Melayu yang melihat rakyat asalnya bukan sahaja telah menjadi kecil jumlahnya dan lemah kuasa politiknya,tetapi juga akan menjadi lebih parah kedudukannya dengan kemunduran ekonomi  dan pendidikannya.Oleh itu perlindongan atau kedudukan dalam Perlembagaan Merdeka 1957 itu dirasakan perlu dipertegaskan lagi dengan 7 Wasiat Raja-raja Melayu,sebagai tambahan pendinding kedudukan dan perpaduan mereka dalam sebuah Negara yang merdeka.(2)

7 Wasiat itu meliputi semua perkara asas yang telah bertapak dalam kegemilangan kerajaan-kerajaan Melayu sebelum  kedatangan penjajah,yang kemudian dimasukkan kedalam perlembagaan Negara sebagai perkara-perkara pokok kenegaraan Persekutuan Tanah Melayu ( Malaysia kemudiannya).Perkara asas itu adalah tanah air yang bernama Persekutuan Tanah Melayu,Tanah Simpanan Melayu,Rejimen Askar Melayu,Kedaulatan dan kedudukan Raja-Raja Melayu Sebagai Pemerintah,Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan,Agama Islam sebagai agama Persekutuan dan Kedudukan Istemewa Melayu dan Kepentingan Sah kaum-kaum lain dalam Persekutuan Tanah Melayu.

7 Wasiat Raja-Raja Melayu:
7 Wasiat ini telah ditimbulkan semula oleh Raja Muda Perak,Raja Dr.Nazrin,pada 6 Ogos 2011,yang menyebutkan:
“Hubaya-hubaya bangsa,bahawa pada tarikh 5 Ogos 1957,Dulu-Duli Yang Maha Mulia Sembilan Raja-Raja Melayu sebagai Raja Pemerintah dari empat Negeri Melayu Bersekutu dan lima Negeri Melayu Tidak Bersekutu telah memberikan perkenan menurunkan tandatangan persetujuan kepada pembentukan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu dengan memahat Tujuh Wasiat Raja-Raja Melayu yang berbunyi:
Wasiat Raja-Raja Melayu tersebut disampaikan sebelum Merdeka kepada rakyat Melayu yang merupakan rakyat asal dan subjek Raja-Raja Melayu adalah seperti berikut”:
“Kami wasiatkan  kepada zuriat keturunan kami 7 perkara yang mana jika kamu bersatu padu dan berpegang tegtuh kepadanya selama itulah kamu akan aman damai dan selamat sejahtera”.


Analisis:
Mukadimah 7 Wasiat Raja-raja Melayu ini menyebut dengan jelas  beberapa perkara penting yang mungkin tidak disedari oleh orang ramai terhadap kepentingannya kepada Negara ini .Antaranya ialah tarikh 5 Ogos 1957;tarikh ini disebut dengan cara kusus sebagai satu tarikh penting menandakan tertulisnya 7 Wasiat Raja-Raja Melayu itu ,beberapa minggu sebelum kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu diistiharkan.Ini bermakna wasiat ini telah ditulis mendahului tarikh kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu itu sendiri.Ia adalah saat yang sangat bermakna bagi Raja-Raja Melayu  melepaskan tanggongjawab mereka kepada rakyatnya.Dibawah kerajaan yang merdeka ini,Raja-Raja mahu melihat rakyatnya bersedia dengan satu kemerdekaan politik  membuat keputusan memilih pemimpin mereka melalui pilihanraya.Ditangan rakyatlah terletaknya kebijaksanaan mereka memilih pemimpin.Pihak Raja-Raja Melayu didalam konsep Raja Berperlembagaan hanya melantik ketua-ketua pentadbiran penting diperingkat Negara dan negeri.
Wasiat ini dibuat sebagai satu perkara yang berbeza  dan terasing daripada Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957 atau juga dikenal sebagai Perlembagaan Merdeka 1957.Ia adalah satu amanah Raja-Raja Melayu bagi menguatkan lagi pendirian mereka terhadap perkara-perkara yang sama yang telah dimasukkan kedalam Perlembagaan 1957.Wasiat  ini bolehlah dianggap sebagai peringatan khas orang Melayu daripada Raja-Raja mereka.Ia sepatutnya menjadi alat kesedaran kepada mereka.

Wasiat itu ditujukan kepada orang Melayu yang merupakan rakyat  dan subjek Raja-Raja Melayu sejak daripada awal kebangkitan kerajaan-kerajaan Melayu dahulu.Orang Asli juga adalah rakyat asal Raja-Raja Melayu yang telah ada sebelum kerajaan Melayu terbena,malah disesetengah negeri mereka menjadi sebahagian kepada kerajaan Melayu itu sendiri.Tanpa rakyat Melayu ini sesebuah kerajaan Melayu itu tidak akan dapat ditubuhkan kerana rakyat adalah penyokong dan pengikut kepada institusi raja dan kerajaan itu sendiri.Dengan  itu Raja akan sentiasa melihat rakyatnya sangat penting kepada kewujudan dan survival mereka;oleh itu Raja sentiasa menyayangi rakyat yang mendokongnya;maka ingatan terhadap perpaduan  dan kekuatan orang Melayu dengan berteraskan 7 Wasiat itu adalah sangat releven dalam mendokong kelangsungan Raja-Raja Melayu dan kerajaan negeri dalam Malaysia.Keselamatan orang Melayu adalah penting sekali kepada Raja-Raja Melayu.



7 Wasiat Raja-Raja Melayu itu adalah:
Pertama:“Kami namakan dan kami panggil akan dia,bumi yang kamu pijak dan langit yang kamu junjung,PERSEKUTUAN TANAH MELAYU.”

Analisis:
Persekutuan Tanah Melayu yang merdeka pada 31 Ogos 1957 adalah satu entiti politik yang telah diasaskan pada 1 Febuari 1948 .Ia menggabongkan sebelas buah negeri dengan 9 orang negeri yang beraja dan dua Negeri Selat.Dengan itu konsep kerajaan Persekutuan telah dimulakan sebagai dasar atau bentuk pentadbiran  Negara.Nama ini digunakan sehingga kemerdekaan 1957 bagi negeri-negeri Melayu,Melaka dan P.Pinang dan berlanjutan sehingga penubuhan Malaysia pada 1963.Ini bermakna,bumi yang telah diwasiatkan ole Raja-Raja Melayu sebagai tanah air orang Melayu dan langit yang melindungi dan memayunginya sebagai bumbungnya adalah sebuah  Negara yang akan menjadi milik mereka buat selama-lamanya.Ini kerana nama itu melambangkan satu kata dasar yang penting iaitu TANAH MELAYU.Tanah Melayu itu menggambarkan tanahair orang Melayu yang telah wujud sejak beribu tahun lalu dengan pelbagai nama panggilan oleh pengembara dan pedagang yang tiba dan melintasi kawasan tanah yang berbentuk Semenanjung ini.Ia cukup terkenal dengan nama Semenanjung Emas dan kemudiannya sebagai Semenanjung Melaka dengan Selat Melaka menjadi begitu penting sebagai selat laluan para pedagang dan penjajah kerantau Kepulauan Melayu atau Dunia Melayu itu.Semua kerajaan Melayu yang terbena disepanjang pantainya tidak begitu terkenal sehinggalah kemunculan kehebatan Kesultanan Melaka pada kurun 15.Kesultanan Melaka kemudian membena sebuah empayer yang hebat sehingga Semenajung itu dikenal sebagai Semenanjung Melaka. Ia kemudian berubah menjadi Semenanjung Melayu(Malay Peninsular oleh British)sebelum bertukar menjadi Semenanjung Tanah Melayu bagi menandingi nama Malaya,ciptaan British.Semenanjung Tanah Melayu lebih dekat dihati rakyat Melayu daripada Malaya;sebagai contoh ia tetap dikekalkan ialah Keretapi Tanah Melayu Berhad.

Nama ini kemudian hilang dengan penubuhan Malaysia pada 16 September 1963.Sebenarnya inilah satu pengorbanan yang amat penting kepada orang Melayu dan Raja-Raja Melayu apabila nama Persekutuan Tanah Melayu itu tidak lagi tersebut dan terpamir dalam Perlembagaan Malaysia.Nama itu hilang buat selama-lamanya;nama Tanah Melayu yang begitu jelas maknanya kepada orang Melayu telah terhapus.Penubuhan Malaysia sebagai sebuah Persekutuan dengan anggotanya lebih besar,14 buah negeri,tetap direstui dan ditandatangani  Perjanjian Malaysia 196) oleh Raja-Raja Melayu ,yang kini menjadi Raja-Raja Malaysia.Ini terdapat dalam Perlembagaan Persekutuan, Bahagian 1(1,2) Negeri-Negeri, Ugama dan Undang-Undang Bagi Persekutuan.(3)PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN sehinnga 15 Mei 2008.Petaling Jaya:International Law Book Services,muka surat 1)

Dalam erti kata lain,Raja-Raja Melayu yang telah mewasiatkan  bumi dan langitnya dengan nama Persekutuan Tanah Melayu,kini telah mewasiatkan pula Malaysia sebagai tanah air dan bumi serta langit yang dijunjung oleh mereka.Raja-Raja Melayu,yang menandatangani Perjanjian Malaysia itu juga dengan penuh sedar telah mengubah nama Negara yang telah diwasiatkannya itu kepada nama baru;tetapi ini tidak mengurangkan amanahnya kepada orang Melayu,penduduk terbesar Negara ini,yang akan hidup bersama-sama bumiputra Sabah dan Sarawak serta lain-lain kaum yang telah menjadi rakyat Malaysia.Dengan itu Raja-Raja Melayu yang memerintah negeri-negeri beraja dan akan menjadi Yang diPertuan Agong apabila tiba gilirannya,telah meluaskan kedudukannya sebagai pelindung rakyat dan bersemayam diatas semua rakyat Malaysia sebagai rakyatnya. Dengan itu adalah adalah menjadi tanggongjawab rakyat untuk setia kepada Raja ,seperti  yang terdapat dalam prinsip kedua  Rukun Negara.Maka dengan perubahaan nama  Negara kepada Malaysia, Raja-Raja Melayu kini menjadi Raja-Raja Malaysia dengan raklyatnya terdiri daripada pelbagai kaum walaupun amanahnya tetap mendalam dihati sanubari orang Melayu.   


Wasiat Raja Melayu yang Kedua:”Kami istiharkan dan kami simpan untuk kamu dan kami benarkan kamu istihar dan simpan untuk anak cucu kamu,selain gunung ganang,tasik dan hutan simpan,TANAH SIMPANAN MELAYU  sehingga nisbah 50%,selebihnya kamu rebutlah bersama-sama kaum lain.”

Analisis:
Tanah Simpanan Melayu adalah satu peruntukan undang-undang yang telah dibuat sejak tahun 1900 oleh British bagi menyahut desakan Raja Chulan ibni Sultan Abdullah Perak,yang mahu tanah-tanah kepunyaan orang Melayu dan sebahagian daripada tanah dinegeri-negeri Melayu diwartakan sebagai tanah adat dan tanah rezab Melayu,yang tidak boleh dijual kepada kaum lain.ini adalah  satu perlindungan kepada orang Melayu sebagai pribumi atau son of the soil Tanah Melayu daripada tekanan kemasukan orang dagang ke Tanah Melayu.British melihat ini sesuatu yang menasabah sehingga sanggup melahirkan sebuah akta itu bagi tujuan tersebut dinegeri-negeri Melayu.Malah dinegeri yang tidak beraja seperti di Melaka,P.Pinang,Sarawak dan Borneo Utara(Sabah),British juga menjalankan dasar yang sama.Tanah Simpanan Melayu, Tanah Adat Melayu dan Tanah Anak Negeri dibuat bagi menentukan kemasukan pelabur luar dan imigran yang boleh membeli tanah-tanah negeri dan persekutuan dengan tanpa sekatan,tidak akan menjejaskan kedudukan dan kebajikan anak negeri.

Dalam Perlembagaan Merdeka 1957 hal ini telah dijadikan satu fasal perlembagaan yang jelas.Ia kemudian dipanjangkan dalam Perlembagaan Persekutuan (Malaysia)1963 sebagai Fasal 89,Tanah Rezab Orang Melayu,Fasal 90,Peruntukan Khas mengenai Tanah Adat di Negeri Sembilan dan Melaka,dan Tanah Pegangan orang Melayu di Terengganu.(4) Peruntukan-peruntukan ini adalah jelas menunjukkan peruntukan pentadbiran British itu dikekalkan. Namun,bidang kuasa Dewan Undangan Negeri yang boleh membuat enakmen baru bagi mengubah Tanah Rezab Melayu ini,telah mengurangkan kredebalitinya.Sikap  orang Melayu yang suka menjual tanah kepada orang bukan Melayu,juga menjadi sebab kehancuran Tanah Simpanan Melayu itu.Duli Yang Maha Mulia(DYMM)Sultan Selangor,Sultan Idris Sharifudin Shah telah bertitah pada tahun 2012,supaya Tanah Simpanan Melayu dikekalkan dalam kedudukannya asalnya bagi menjamin kebajikan orang Melayu dimasa hadapan.Perbuatan mengambil Tanah Simpanan Melayu atas dasar pembangunan negeri dan persekutuan dan tidak menggantikan seperti sepatutnya,benar-benar membimbangkan Baginda.Tegoran DYMM Sultan Selangor itu ada benarnya;kini Tanah Simpanan Melayu telah merosot kedudukannya kepada kurang 30 % sahaja diseluruh negara.


Wasiat Raja-Raja Melayu yang Ketiga:”Bagi menjaga kamu dan bagi melindungi anak cucu kamu serta hak milik kamu,kami telah tubuhkan REJIMEN ASKAR MELAYU selain untuk membenteras kekacauan dalam Negara dan ancaman dari luar Negara”

Analisis:
Rejimen Askar Melayu adalah satu pasukan ketenteraan Negara yang ditubuhkan dibawah Seksyen 16(1) Akta Angkatan Bersenjata 1972.Seksyen ini menyatakan bahawa` Mana-mana  orang boleh diambil masuk kedalam angkatan tetap;dengan syarat bahawa hanya orang Melayu masuk kedalam Askar Melayu Diraja”.Ini bermakna Akta Angkatan Bersenjata 1972 itu telah memperuntukan satu bahagian yang jelas tentang keanggotaan Askar Melayu Diraja yang hanya terbuka kepada orang Melayu sahaja.

Ini kerana penubuhan Askar Melayu pada asalnya,seperti yang diwasiatkan oleh Raja-Raja Melayu itu ialah untuk mempertahankan kedaulatan raja dan  Negeri-negeri Melayu yang menjadi  pemimpin dan tanah air rakyat Melayu. Hasrat Raja-Raja Melayu ini yang diutarakan pada 1902,selepas penubuhan Negeri-negeri Melayu Bersekutu(Federated Malay States)pada 1896.Ia telah diutarakan dalam Durbar  oleh Almarhum Sultan Perak,Sultan Alang Iskandar dan Yang diPertuan Besar Negeri Sembilan,Tuanku Mohamad Ibni Yam Tuan Antah.Pembesar-pembesar Melayu seperti Dato’ Abdullah Dahan dan Raja Sir Chulan juga turut mendokong cadangan itu.Selepas itu British telah mengadakan beberapa perbincangan dengan Raja-Raja Melayu,sehingga akhirnya Rejimen Askar Melayu ini telah ditubuhkan pada 1 Mac 1933 dibawah Malay Regiment Ordinance.Kompeni Percubaan Pertama  dengan 23(ada yang kata 25 ) orang anggota,dibawah Mejar G.Mc Bruce telah diadakan sebagai perintis kepada satu pasukan pertahanan tempatan yang pertama.Ia menjadi satu kebanggaan anak negeri kerana dasar British yang membawa masuk British Indian Army dan British Army sebagai pembantunya menguasai negeri-negeri Melayu,telah dapat dicairkan dengan penubuhan Rejimen Askar Melayu itu.

Walaupun susah untuk berkembang kerana sekatan kewangan British,bagaimanapun Rejimen Askar Melayu kemudian sedikit demi sedikit telah diperkukuhkan sehingga menjadi 2 Batalion sebelum Perang Dunia Kedua.Kebolehan dan kesetiaan mereka kepada bangsa dan Negara diuji dengan hebat sebagai penentang kemasukan Jepun di Bukit Chandu ,Singapura dibawah Leftenan Adnan.Selepas British menguasai semula Tanah Melayu pada tahun 1945,Rejimen Askar Melayu telah berjuang menentang Parti Komunis Malaya bersama-sama dengan pasukan keselamatan yang lain.Bukan sedikit mereka yang terkorban kerana menentang ancaman Kominis pada tahun 1948-1960 itu.Peristiwa Sungai Semur yang berlaku pada 25 Mac 1950,oleh  250 orang anggota pengganas Parti Kominis Malaya keatas Rejimen Askar Melayu sehingga mengorbankan  25 orang anggota dari Kompeni D,3 Rejimen Askar Melayu,adalah satu peristiwa sedih yang tidak dapat dilupaka.Begitu juga dengan pengorbanan Askar Melayu dalam pertempuran  di Sungai Yu,Titi ,N.Sembilan dan beberapa tempat lain diseluruh Negara.Rejimen Askar Melayu juga terlibat  dalam gerakan Konfrantasi Indonesia keatas Malaysia pada 1963.Peristiwa Kalabakan juga telah meragut nyawa anggota Rejimen Askar Melayu  kerana memepertahankan tanah air.Misi pengamanan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu juga menjadi satu sumbangan Rejimen Askar Melayu diperingkat antarabangsa,seperti Congo,Bosnia dan banyak lagi.

Hari ini Rejimen Askar Melayu Diraja telah menjadi satu pasukan ketenteraan Negara yang amat berwibawa.Peranannya sebagai pasukan tempur infantri utama dalam Tentera Darat Malaysia adalah sangat disegani.Kini ia menjadi barisan pertahanan Negara yang hebat  dengan kekuatan 25 Batalion.Harapan Raja-Raja Melayu yang merupakan satu Wasiat mereka yang penting untuk keselamatan orang Melayu dan cucu cicitnya kini serta rakyat Malaysia yang lain,kini menjadi satu tanggungjawab Rejimen Askar Melayu  untuk mempertahankan Negara tercinta ini.



Wasiat Raja-Raja Melayu  yang Keempat:`Kami kekalkan dan kami jamin Kerajaan dan Kedaulatan RAJA-RAJA MELAYU memerintah Negara ini’.

Analisis:
Apa yang diwasiatkan oleh Raja-Raja semasa Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan ialah jaminannya untuk mengekalkan Raja-Raja Melayu sebagai  pemerintah yang berdaulat bagi memerintah Negara ini.Ini bermakna,Raja-Raja Melayu akan terus terjamin kedudukannya dalam perlembagaan Negara dan negeri dalam Persekutuan Tanah Melayu.Inilah juga peruntukan yang telah dimasukkan dalam Perlembagaan Merdeka 1957 dan Perlembagaan Persekutuan Malaysia 1963.(Peruntukan Perlembagaan akan disebut kemudian)

Institusi Raja-Raja  Melayu adalah satu institusi yang sangat lama,yang telah tercipta  dengan berlakunya Wa’adat Rakyat dan Raja Melayu di Bukit Siguntang Mahameru, Palembang, Sumatera. Dalam wa’adat atau kontrak sosial itu, rakyat Melayu dibawah Demang Lebar Daun telah bersetuju menerima seorang Raja sebagai ketua mereka selagi Raja itu bersifat adil dan menjaga kepentingan rakyat dalam konsep `Raja adil Raja disembah dan Raja zalim Raja disanggah’.Sejak itu konsep Raja sebagai kerajaan dan ketua orang Melayu menjadi konsep pemerentahan seluruh kerajaan Melayu di Kepulauan Melayu. Sejak daripada kerajaan Funan, Champa, Sri Wijaya, Majapahit, Demak, Banjarmasin, Brunei, Acheh dan Melaka, Raja menjadi tonggak kekuatan kerajaan dengan konsep Raja Mutlak.Ini bermakna bahawa semua keputusan pemerintahan dan kegiatan kerajaan berada didalam tangannya.Manakala perlaksanaannya diwakilkan kepada pembesar-pembesar negeri dan daerah yang dilantik mengikut budi bicaranya.Kesetiaan kepada Raja menjadi asas pentadbiran dan konsep Daulat menjadi pengikat penghormatan dan kesetiaan rakyat kepada Raja.Kelangsungan kerajaan Melayu berlaku dengan jelas mengatasi semua  cabaran yang dilaluinya.

Di Semenanjung Tanah Melayu,Kesultanan Melaka telah menjadi kerajaan dan empayer yang tersohor,yang merupakan kelangsungan daripada kerajaan Sri wijaya.Parameswara,Raja kerajaan Melayu di Palembang,telah membuka Melaka dan keturunannya pula talah menjadikan Melaka  empayer yang hebat sebagai pusat perdagangan dunia dan perkembangan Islam serantau.Sultan-sultan Melaka seperti Sultan Mudzafar Shah,Sultan Mansur Shah,Sultan Alaudin Riayat Shah dan Sultan Mahmud Shah telah bertanggongjawab membangunkan Melaka bersama-sama para pembesar yang tersohor  seperti Tun Perak dan Laksamana Hang Tuah lima bersaudara.Perluasan empayer telah membolehkan semua sistem pemerintahan,ekonomi dan kebudayaan tersebar keseluruh jajahannnya yang meliputi seluruh Semenanjung Tanah Melayu, Pantai Timur Sumatra dan kepulauan Riau-Lingga.Konsep pemerintahan Raja Mutlak digunakan sepenuhnya.

Walaupun Siam,Belanda,British dan Jepun menduduki Negeri-negeri Melayu,tetapi institusi raja tetap kekal sebagai ketua pemerintah dan masyarakat tempatan.Hanya Portugis sahaja yang telah membuang institusi raja di Melaka,yang kekal sehingga kehari ini.Dasar mengekalkan institusi raja ini telah berterusan sehingga Negara mencapai kemerdekaan.Malah Raja-Raja Melayu sebagai pemerintah tidak pernah hilang kedudukannya sebagai ketua negeri walaupun pentadbiran dan pengurusan negeri dikuasai oleh British.British mengekalkan institusi raja sebagai pemerintah negeri seperti mana mereka meneruskan  kepimpinan Raja/Ratu England sebagai ketua negaranya.Dengan itu konsep Raja Berperlembagaan yang diamalkan di England diguna-pakai di Persekutuan Tanah Melayu semasa Negara membentuk Persekutuan Tanah Melayu11948) dan mencapai kemerdekaan pada 1957 dan seterusnya penubuhan Malaysia pada 1963 .

Satu perkara penting yang menandakan perubahaan kuasa Raja-Raja Melayu yang termaktub dalam Perjanjian Persekutuan 1948 ialah kewujudan konsep Raja Berperlembagaan,yang menggantikan konsep Raja Mutlak yang selama ini terpakai dalam sistem pemerintahan beraja di Tanah Melayu.Didalam sistem ini,Raja-Raja Melayu bertindak sebagai pemerintah yang bertahta diatas negeri dan rakyatnya dan menyerahkan pengurusan negeri kepada pegawai-pegawai yang dilantiknya.Sultan setiap negeri melantik seorang  Menteri Besar,sebuah jawatan yang seragam bagi seluruh Persekutuan Tanah Melayu,sebagai ketua pentadbir negeri.Dibawahnya terletak ketua-ketua jabatan negeri.Kerjasama Negeri  dan Persekutuan berlaku dalam pengetahuannya.Sistem pengurusan negeri seperti ini memang berlaku semasa pemerintahan Raja Mutlak,tetapi dibawah sistem yang terbaharu ini,undang-undang dan prosedur bertulis yang terletak dibawah pentadbiran kuasa Menteri Besar diperjelaskan dengan nyata.Dengan itu perintah Sultan adalah tertaklok kepada perundangan dan prosedur yang ada;bagaimanapun budi bicara Sultan masih boleh berlaku dengan nasihat Menteri Besar.

Konsep Pilihanraya juga dimasukkan didalam Perjanjian itu,iaitu artikel 40,yang menyebut bahawa apabila tiba masa yang sesuai,pilihanraya akan dilaksanakan bagi membolehkan rakyat Persekutuan Tanah Melayu memilih wakil-wakil mereka untuk menjalankan pemerintahan daerah,negeri dan Negara.Dengan peruntukan itu,Raja-Raja Melayu telah melepaskan kuasa melantik pegawai-pegawai daerah dan negeri serta Negara kepada rakyat itu sendiri.Dengan ini Raja-Raja Melayu telah memberikan separuh daripada kuasanya kepada rakyat melalui pengenalan sistem pilihanraya itu.Dengan peruntukan itu,Pilihanraya Bandaran(Municipal Election) telah diperkenalkan melalui Local Authorities Ordinance 1953.Sebelum itu sebagai percubaan,pilihanraya bandaran pertama telah dijalankan di George Town pada 1951 dan di Kuala Lumpur pada 1952.Ia kemudian dijalankan disemua ibu negeri,yang merupakan bandar utama disetiap negeri.Dengan  terciptanya pula The Election Ordinance 1954,(5))maka pilihanraya Negeri telah diadakan pada tahun yang sama.Dalam kedua-dua peringkat pilihanraya itu,Parti UMNO(United Malays National Organization) dan MCA(Malayan Chinese Association)telah memenanginya dengan cemerlang sekali.Dengan itu konsep Raja Berperlembagaan,yang membawa maksud bahawa Raja-Raja sebagai pemerintah tidak terlibat langsung dalam kepimpinan,pentadbiran pengurusan Negeri telah dilaksanakan sebelum kemerdekaan 1957. Peranan Baginda semua sebagai ketua negeri dan hanya berkuasa melantik Menteri Besar,yang telah dipilih oleh rakyat,adalah jelas sekali.   

Sebagai ketua Negeri-Negeri Melayu ,Raja-Raja Melayu telah turut sama terlibat dalam proses mencapai kemerdekaan Negara pada 1957.Raja-Raja Melayu sebagai satu kumpulan,seperti yang diputuskan oleh mesyuarat Majlis Raja-Raja Melayu,telah mengeluarkan satu memorandum kepada Suruhanjaya Reid tentang kehendak mereka dalam sebuah Negara yang merdeka.Dalam memorandum itu  Baginda semua meminta supaya kedudukan mereka sebagai Raja Berperlembagaan dikekalkan dengan kedudukan mereka sebagai ketua negeri dan Negara dimasukkan kedalam perlembagaan Negara dan negeri. Kedudukan mereka juga diletakkan diatas undang-undang dan rakyat Persekutuan Tanah Melayu. Memorendum Sultan-Sultan itu telah terima oleh Suruhanjaya Reid dengan mengekalkan kedudukan, bidang kuasa, keistemewaan dan kedaulatan mereka tanpa ada kekurangan seperti Perjanjian Persekutuan 1948.Dengan itu,Raja-Raja Melayu sebagai ketua pemerintah Negeri-Negeri telah menandatagani Perjanjian Persekutuan 1957 dengan gilang gemilangnya pada 27 Jun 1957 di Kings House(Carcosa Seri Negara),K.Lumpur.Rasa sayang Baginda semua kepada semua hal tentang Persekutuan Tanah Melayu  telah dibuatnya sebagai 7 Wasiat Raja-Raja Melayu pada 5 Ogos 1957,beberapa hari sebelum Kemerdekaan diistiharkan.Pengistiharan kemerdekaan di Stadium Merdeka oleh Tengku Abdul Rahman  telah disaksikan oleh Baginda semua  diatas pentas yang indah permai.

Sebagai ketua dan pemerintah rakyat,Baginda semua menyaksikan kegembiraan rakyat mendapat kemerdekaan bukan sahaja daripada British tetapi yang sebenar-benarnya juga adalah daripada Raja-Raja Melayu itu sendiri.Raja-Raja Melayu secara berperlembagaan telah melepaskan kuasanya untuk memilih pegawai-pegawai ataupun pemimpin-pemimpin yang diberikan kepada rakyat melalui Pilihanraya Bandaran(1951),Negeri (1954)dan  Majlis Mesyuarat Persekutuan( 1955).Dengan pilihanraya-pilihanraya ini,rakyat berkuasa membuat keputusan sendiri dalam memilih pemimpin mereka,iaitu wakil rakyat untuk menguruskan pentadbiran negeri dan Negara.Raja-Raja tidak lagi bersifat Raja Mutlak yang boleh memaksa rakyat dengan arahan dan perintahnya tanpa berlandaskan undang-undang dan prosedur.Pemodanan dalam sistem pentadbiran Negara ini telah mengurangkan kuasa raja yang sepenuhnya dan memberi ruang untuk rakyat bersuara.Suara rakyat  kini menjadi teras pentadbiran dan pengurusan Negara.Kemerdekaan suara dan kemerdekaan bertindak rakyat dalam membuat keputusan ini adalah kemerdekaan rakyat dalam kemerdekaan Negara pada 1957 itu.

Dengan itu,walaupun Malaysia dibentuk pada 16 September 1963 itu adalah sebuah nama baru menggantikan nama Persekutuan Tanah Melayu 1957,kedudukan,bidang kuasa,keistemewaan dan kedaulatan Raja-Raja Melayu sebagai ketua Negara dan Negeri diteruskan dan dikekalkan dalam perlembagaan Negara dan Negeri.Dalam Perlembagan Persekutuan Malaysia,banyak sekali  Perkara-perkara yang menunjukkan kedudukan,bidang kuasa dan keistemewaan Raja-Raja Melayu diperingkat Persekutuan .Antaranya:

1)Bahagian 4 Persekutuan,Bab1 Kepala Utama Negara,32.Kepala Utama Negara bagi Persekutuan,dan Permaisurinya.
(1)Maka hendaklah ada seorang Kepala Utama Negara bagi Persekutuan digelarkan Yang di-Pertuan Agong,yang mengambil keutamaan mengatasi segala orang dalam Persekutuan dan tidak boleh dikena dakwa dalam apa-apa jua perbicaraan dalam mana-mana mahkamah kecuali dalam Mahkamah Khas yang ditubuhkan dibawah Bahagian 15(Perlembagaan Persekutuan(hingga 15 Mei 2008,ms19.)

2)Bahagian 4,Bab2 Majlis Raja-Raja, 38 Majlis Raja-Raja.(1)Maka hendaklah ada suatu Majlis Raja-Raja yang ditubuhkan mengikut Jadual Kelima(Ibid,ms 22)

3)Bahagian 4,Bab 3 Pemerintah,39. Kuasa pemerintah Persekutuan:
`Kuasa pemerintah bagi Persekutuan adalah terletak pada Yang di-Pertuan Agong ndan tertakluk kepada peruntukan mana-mana undang-undang Persekutuan dan peruntukan Jadual KLedua,kuasa itu boleh dijalankan olehnya atau oleh Jemaah Menteri atau oleh mana-mana  Menteri yang diberi kuasa oleh Jemaah Menteri,tetapi Parlimen boleh dengan undang-undang memberi tugas-tugas pemerintah kepada orang-orang lain.

4)40(1),`Yang diPertuan Agong hendaklah bertindak mengikut Nasihat.

5)41,Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera.

6)42(1)_Kuasa Bagi Mengampun,dsb.

7)43,Jemaah Menteri(1),43A.Timbalan-Timbalan  Menteri.

8)Bahagian 5 Negeri-Negeri,Artikel 70(1)(2)Keutamaan Raja dan Yang diPertua Negeri.

9)71. Jaminan Persekutuan terhadap Perlembagaan Negeri.

10)Bahagian 9 Penghakiman,Artikel 122AB,Perlantikan Pesuruhjaya kehakiman.

11)122b.Perlantikan hakim-hakim Mahkamah Persekutuan,Mahkamah Rayuan dan Mahkamah
 Tinggi.

12)Bahagian 10 Perkhidmatan Awam,Artikel 137.Majlis Angkatan Tentera(1)

13)145.Peguam Negara.

14)Bahagian 11 Kuasa-kuasa khas Menentang Perbuatan Subersif,Kekarasan Yang Dirancang
Dan Perbuatan-Perbuatan dan Jenayah-jenayah Yang Memudaratkan Awam dan Kuasa-Kuasa Darurat,Artikel 150.Peristiharan Darurat(1)(2)(2A)(2B)

15)Bahagian 12 Am Dan Pelbagai.153. Perbezaban quota mengenai perkhidmatan awam,permit dsb.,untuk orang Melayu(1)(2)(3)(4)(5)(6)(8A)(10),.

16)160(2),`Melayu’(a,b),`Raja’(a,b).
16)Bahagian 14 Perkecualian Bagi Kedaulatan Raja-Raja,DSB. 
181.Perkecualian Bagi kedaulatan Raja-Raja,dsb.

17)Bahagian 15 Prosiding Terhadap Yang diPertuan Agong dan Raja-Raja,.

18)182(1)(2)(3)(4)(5)(6)(7).

19)183.Tiada Tindakan boleh dimulakan terhadap Yang Di Pertuan Agong atau Raja-Raja kecuali dengan keizinan Peguam Negara sendiri.(6) 

Kesemua artikel Perlembagaan Persekutuan Malaysia ini memperlihatkan bahawa Wasiat Raja-Raja Melayu tentang Raja-Raja Melayu sebagai pemerintah yang dijamin kedudukannnya telah dimasukkan dalam Perlembagaan Merdeka 1957 dan diteruskan dalam Perlembagaan Malaysia 1963.Kesediaan Raja-Raja Melayu berkongsi kuasa dengan rakyat itu telah menyelamatkan institusi raja itu daripada terhakis dalam pentadbiran Negara yang merdeka.Dibandingkan dengan Republik Indonesia yang membuang institusi raja dalam Revolusi 1945 itu,Raja-Raja Malaysia adalah lebih bijaksana bekerjasama dengan rakyat untuk melangsungkan kedudukan dan kedaulatannya.Apabila telah termaktub dalam perlembagaan Negara dan negeri,kedudukannya adalah sah dan bukan semata-mata sebagai simbol atau retorik masyarakat tradisional sahaja.Ia telah menjadi satu legitimasi pemerintahan dan pentadbiran Negara Malaysia hari ini.


Wasiat Raja-Raja Melayu yang Kelima ialah:Kami istiharkan ISLAM ialah Agama Persekutuan.

Analisis:
Wasiat ini sangat penting kerana ia adalah satu amanah untuk menjaga agama Islam sebagai agama Persekutuan untuk selama-lamanya.Ini kerana agama Islam adalah agama kepercayaan dan cara hidup orang Melayu  yang telah beratus-ratus tahun diamalkan oleh kerajaan-kerajaan  Melayu sebelum kedatangan pengaruh barat  kerantau ini.Dengan itu ia telah menjadi sebati dengan system pentadbiran dan pemerintahan kerajaan dan kehidupan masyarakat tempatan.
Islam telah mula tersebar dengan kemunculan kerajaan Melayu di Kedah,Terengganu dan Melaka.Melaka menjadi pusat penyebaran dan pengembangan agama Islam kerana agama itu didokong oleh Raja-Raja Melaka dan para pembesarnya dengan penoh kesungguhan.Sultan Mansor Shah dan Sultan Alauddin Riayat Shah dan Tun Perak adalah diantara tokoh yang dikenali sebagai pendokong syiar Islam yang unggul.Hukum Kanun Melaka juga menggunakan undang-undang Islam sebagai cara hidup mayarakat Melaka pada masa itu.Apabila Melaka bertaraf sebuah empayer,agama Islam turut berkembang melalui penaklukan,perkahwinan diraja dan juga persahabatan yang terjalin serta hubungan dagangan yang berlaku.Agama Islam akhirnya menjadi agama rasmi negeri dan pegangan rakyat diseluruh Tanah Melayu. 

Kedatangan dan pendudukan kuasa luar  di Tanah Melayu tidak menggugat Islam sebagai sebuah sistem kepercayaan dan cara hidup pemerintah dan masyarakat Melayu.Kejatuhan Melaka pada tahun 1511 ditangan Portugis hanya melumpuhkan Islam di Melaka sebagai agama pemerintah,tetapi di Negeri-Negeri Melayu yang lain,yang menjadi  jajahan atau mendapat pengaruh Melaka,tidak terganggu dengan agama Kristian dokongan Portugis.Oleh itu,agama Islam sebagai akidah masyarakat dan pemerintah tetap kekal;semua Raja-Raja pemerintahnya menggunakan dan mengekalkan Islam sebagai pegangannya dan cara kehidupannya.Ini dibuktikan dengan tulisan-tulisan yang ditinggalkan dalam bentuk Hikayat,Kitab Agama dan manuskrip Melayu yang tersimpan didalam negeri dan diluar Negara.

British yang mempengaruhi Tanah Melayu pada 1870an sehingga awal kurun 20,tidak mengganggu kedudukan Islam di Negeri-negeri Melayu.Malah adalah menjadi polisi British yang meletakkan hal ehwal agama Islam dan adat istiadat Melayu dibawah kuasa Raja-Raja Melayu.Larangan juga dibuat kepada mubaligh-mubaligh Kristian supaya tidak  menyebarkan agama itu kepada orang Melayu.Ibubapa orang Melayu juga tidak menghantar dengan sewenang-wenangnya anak-anak mereka kesekolah Inggeris yang dikendalikan oleh mubaligh-mubaligh Kristian kerana bimbang anak-anak mereka akan terpengaruh dengan ajaran agama Kristian.Masyarakat Melayu juga melangsungkan sistem pendidikan Islam dirumah,masjid,surau,pondok,madrasah dan kolej didalam dan diluar negera untuk membekalkan pendidikan Islam kepada generasi mudanya.Oleh itu sewaktu kemerdekaan dirancang dan akhirnya dicapai,agama Islam tetap didokong oleh masyarakat Melayu.

Maka Wasiat Raja-Raja Melayu itu telah dimasukkan kedalam Perlembagaan Merdeka dengan  kedudukan Islam adalah agama Persekutuan,iaitu agama yang akan dilindungi dan didaulatkan oleh Negara.Diperingkat negeri pula,11 buah negeri dalam Malaysia telah mendaulatkan Islam sebagai agama negeri.Dalam Bahagian 1,Negeri-Negeri,Ugama dan Undang-Undang Bagi Persekutuan,Artikel 3.Ugama Bagi Persekutuan (1)`Ugama Islam ialah ugama bagi Persekutuan;tetapi ugama-ugama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai dimana-mana bahagian Persekutuan’.(7)Bidang kuasa Raja-Raja Melayu didalam agama Islam juga kekal sehingga kehari ini.Didalam keadaan yang perlu,Raja-Raja Melayu bertitah mengingatkan rakyat dan pemimpinnya supaya mendokong agama Islam sebagai agama Negara tanpa membabitkannya dengan politik kepartian.Dalam penggunaan nama Allah sebagai Tuhan umat Islam,Sultan Selangor misalnya memberi ketetapan bahawa Allah adalah untuk agama Islam sahaja.Undang-undang Islam dan syariat Islam dijaga oleh Majlis Agama Islam dan Jabatan Agama Islam disetiap negeri.Kuasa Yang DiPertuan Agong pula mengenai agama Islam meliputi negeri-negeri yang tidak beraja.Mahkamah Syariah pula ditubuhkan setiap negeri  bagi meguruskan hal-hal berkaitan dengan perundangan masyarakat Islam manakala Mahkamah Syariah Persekutuan sedang diusahakan untuk menjadi penyatu dan penyeragam  perundangan dan pentadbiran Islam.



Wasiat Raja-Raja Melayu Keenam:Kami tetapkan bahasa kebangsaan ialah BAHASA MELAYU;

Analisis:
Bahasa Melayu adalah bahasa tamadun Melayu yang telah mendasari perkembangangan dan pertumbuhannya.Bahasa Melayu telah menjadi bahasa rasmi negeri-negeri Melayu  sebagai bahasa pentadbiran dan pemerintahan negeri.Ia juga bahasa yang telah digunakan bagi memperkembangan kesusasteraan dan penyibaran syiar Islam.Ia juga menjadi bahasa perdagangan dan lingua franca  Kepulauan Melayu.Perhubungan luar Raja-Raja Melayu juga dijalankan dalam bahasa Melayu dengan Negara-negara barat.Pegawai-pegawai barat mempelajari bahasa Melayu dan tulisan Jawi demi untuk berdagang dan berurusan dengan kerajaan Melayu.Bahasa Melayu menjadi begitu hebat semasa kerajaan-kerajaan Melayu berkembang maju di Kepulauan Melayu dan Asia Tenggara.

Kedatangan pengaruh luar telah memperkayakan lagi bahasa Melayu sehingga ia menjadi lebih kompleks dan sesuai dengan kehendak masyarakatnya itu sendiri.Walaupun pengaruh luar yang menduduki Tanah Melayu memperkenalkan bahasa masing-masing,namun Bahasa Melayu tetap kekal sebagai bahasa pentadbiran kerajaan disamping penggunaan bahasa asing itu juga.Bagaimanapun,kedatangan Inggeris telah memberi kesan besar kepada bahasa Melayu,sehingga ia disaingi dan dicabar integritinya.British berjaya melahirkan satu golongan yang mendokong bahasanya melalui sistem pendidikan Inggeris yang diperkenalkan oleh golongan mubaligh.Untuk menjadikan ia lebih berkesan lagi pentadbiran British telah menjadikan ia sebagai cara untuk mendapatkan pekerjaan dalam pentadbirannya.Bahasa Inggeris menjadi keutamaan dalam urusan perniagaan dan perdagangan mereka.Bahasa Melayu dengan itu menjadi bahasa pentadbiran dikalangan orang Melayu dan Raja Melayu sahaja.Ia menjadi bahasa kedua dalam pentadbiran British diperingkat pusat dan negeri Melayu.

Hal ini menjadikan Raja-Raja Melayu sedar dengan kedudukan Bahasa Melayu yang boleh tenggelam dalam perubahaan semasa.Dengan itu apabila Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan,Raja-Raja Melayu berkewajipan untuk menjaga kedaulatan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi Negeri-negeri Melayu sebelum ini.Dengan itu dalam Wasiat Raj-Raja Melayu 1957 itu,kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan Persekutuan Tanah Melayu telah dilembagakan kedalam Perlembagaan Persekutuan 1957 dalam BAHAGIAN 12 AM DAN PELBAGAI ,Artikel 152. Bahasa Kebangsaan(1)Bahasa kebangsaan ialah Bahasa Melayu dan hendaklah ditulis dalam apa-apa tulisan sebagaimana yang diperuntukkan dengan undang-undang oleh Parlimen.Dengan syarat bahawa-a)tiada sesiapa pun boleh dilarang atau ditahan daripada menggunakan bagi apa-apa maksud,lain daripada maksud rasmi),atau daripada mengajar atau belajar apa-apa bahasa mana-mana kaum lain dalam Persekutuan.(8)

Dengan itu ,walaupun,Bahasa Melayu hari ini terus ditandingi oleh Bahasa Inggeris,kedudukan Bahasa Melayu adalah sangat istemewa iaitu bahasa kebangsaan bagi sebuah Negara yang merdeka dan berdaulat.Bahasa Melayu juga tetap menjadi  bahasa perpaduan rakyat Malaysia dan bahasa ilmu dipusat pengajian tinggi dan bahasa pendidikan bagi sekolah kebangsaan dan jenis kebangsaan.Wasiat Raj-Raja Melayu itu nampaknya terus dipegang oleh generasi hari ini.



Wasiat Raja-Raja Melayu yang Ketujuh:`Kami amanahkan dan kami pertanggungjawabkan kepada Raja-Raja Melayu untuk melindungi KEDUDUKAN ISTEMEWA ORANG MELAYU DAN KEPENTINGAN SAH KAUM-KAUM LAIN(Kemudian ditambah kedudukan istemewa anak negeri Sabah dan Sarawak).

Analisis:
Kedudukan Istemewa Melayu adalah satu perkara yang  memang menjadi perhatian Raja-Raja Melayu sejak sebelum Perang Dunia Kedua lalu.Malah perhatian kepada untung nasib orang Melayu memang sangat dekat dihati Baginda semua kerana orang Melayu adalah rakyat Raja-Raja Melayu sejak daripada penubuhan kerajaan Melayu pada kurun 1 Masehi lagi.Bagi Raja-Raja Melayu di Kepulauan Melayu dan Tanah Melayu,kontrak social Raja dan Rakyat Melayu itu telah telah dibuat di Bukit Siguntang Mahameru dan dilaksanakan di Melaka oleh Hang Jebat;namun didokong dengan kuat oleh Hang Tuah sehingga sistem Raja sebagai penaong rakyat itu kekal sehingga kehari ini.Hubungan Raja dan rakyat adalah hubungan diantara pemimpin dan orang yang dipimpin seperti mana sebuah kerajaan Melayu yang wujud memerlukan kepimpinan raja dan dokongan rakyat.Tanpa rakyat tidak ada raja dan tanpa raja ,rakyat tidak ada kepimpinan yang berdaulat.Inilah konsep kerajaan Melayu pada masa dahulu;oleh itu Raja-Raja Melayu sentiasa memikirkan kepentingan rakyatnya disepanjang masa.

Misalnya dalam menandatangani  Perjanjian Malayan Union pada akhir Disember 1945 dan awal Januari 1946,Raja-Raja Melayu telah mempersoalkan tentang kerakyatan yang terlalu terbuka  dalam kerakyatan Malayan Union.1946 itu.Dasar kerakyatan Malayan Union itu membenarkan  sesiapa sahaja yang lahir dalam Malayan Union, atau  telah tinggal 7 tahun disini  atau sesiapa sahaja rakyat  tanah jajahan taklok British untuk menjadi warganegara Malayan Union.Bagi Duli Yang Maha Mulia(DYMM) Sultan abdul Aziz Shah,Sultan Perak,dasar kerakyatan itu akan menenggelamkan jumlah rakyat Melayu dan nasibnya pada masa hadapan.Ini kerana dengan kemunduran ekonomi,pendidikan dan taraf hiidupnya,orang-orang Melayu akan terus terkebelakang dan tertingal serta terpinggir dalam Malayan Union.Begitu juga dengan DYMM Sultan Ismail Nasisudin Shah,Sultan Terengganu,mempunyai pandangan yang sama.Baginda bimbang orang Melayu,rakyat Baginda akan terus terpinggir dalam negerinya sendiri.Begitu juga dengan  DYMM Sultan Hishamudian Alam Shah,Sultan Selangor,yang bimbang dengan kemasukan imigran yang ramai sehingga menjejaskan jumlah dan kedudukan serta nasib orang Melayu.Walaupun desakan dan rayuan mereka tidak diiendahkan oleh British yang memang menggunakan pentadbiran tentera British untuk mengambil kuasa daripada Raja-Raja Melayu,namun,Raja-Raja Melayu tetap mempertahankan kedudukan rakyatnya sebagai penyokong Baginda.Begitu juga dengan DYMM Sultan Badlishah,Sultan Kedah,telah mempertahankan tahta dan rakyatnya dengan surat bantahan,walaupun Baginda terpaksa menurunkan tandatangannya.(9)

Raja-Raja Melayu dan Rakyat Melayu sentiasa bekerjasama untuk mempertahankan tahta dan kedudukan orang Melayu sebagai anak negeri Tanah Melayu.Malayan Union tidak dapat diteruskan oleh British kerana kerjasama dan perpaduan Raja-Raja Melayu dengan rakyatnya.Walaupun Raja-Raja Melayu telah menurunkan tandatangan dalam Perjanjian Malayan Union 1946,namun ,kerana sokongan rakyat yang padu kepada mereka,Raja-Raja Melayu yang diketuai oleh DYMM Sultan Ibrahim,Sultan Johor,telah menarik semula persetujuan mereka terhadap Malayan Union.Baginda semua mendengar permohonan rakyat jelata yang berkumpul di Station Hotel,K.Lumpur,untuk memboikot majlis perlantikan Sir Edward Gent sebagai Gabnor Malayan Union di Kings House,K.Lumpur.Raja-Raja Melayu juga mendengar permintaan rakyat Melayu yang diwakili oleh UMNO(United Malays National Organization)untuk berunding semula dengan British supaya menarik semula Malayan Union.Perundingan yang berakhir selama hampir dua tahun itu akhirnya menyebabkan British menarik semula Malayan Union,yang diperkenalkan pada 1April 1946 itu dan digantikan dengan Persekutuan Tanah Melayu pada 1 Febuari 1948.(10)

Kejayaan ini membawa banyak makna kepada sistem beraja dan institusi raja dinegara ini.Dengan Perjanjian Persekutuan 1948 dan pengenalan Persekutuan Tanah Melayu sebagai sebuah kerajaan persekutuan,Raja-Raja Melayu menaiki semula tahta sebagai Raja Berperlembagaan.Rakyat pula diberi peluang untuk menjalankan pilihanraya secara berperingkat.Dengan itu Raja dan rakyat berkongsi kuasa tetapi Raja-Raja Melayu tetap bersemayam diatas semua rakyat;dengan itu konsep kedaulatan Raja-Raja tetap kekal dalam sistem pemerintahan dan pentadbiran negeri.Dengan kedudukan ini,Raja-Raja Melayu dapat menjadi ketua kepada rakyatnya berterusan seperti sebelum itu.Perlindungan keatas rakyat juga dapat dilakukannya;dengan itu kedudukan istemewa Melayu dapat dimasukkan kedalam Perjanjian Persekutuan 1948.Dalam Fasal 19,dikatakan Perlindungan Istemewa kepada orang Melayu adalah terletak dibawah Pesuruhjaya Tinggi British. ‘Raja-Raja Melayu kemudian mendesak ia diteruskan dalam Perjanjian Merdeka 1957.Dalam Perjanjian ini,kuasa melindunginya diletakkan dibawah DYMM Yang Di Pertuan Agong diperingkat Negara dan Raja-Raja Melayu diperingkat negeri.Majlis Raja-Raja pula menjadi badan pelindungan yang terakhir.

Dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia ia diteruskan  dan disebut dengan jelas sekali.Dalam BAHAGIAN 12 AM DAN PELBAGAI,ARTIKEL 153.Perezapan quota mengenai perkhidmatan,permit dsb.,untuk orang Melayu ‘,mengatakan:

(1)Adalah menjadi tanggungjawab Yang  diPertuan Agong memelihara kedudukan istemewa orang Melayu dan bumiputra mana-mana negeri Borneo dan kepentingan-kepentingan sah kaum-kaum lain mengikut peruntukan Perkara ini.

(2)Walau apa pun yang terkandung dalam Perlembagaan ini,tetapi tertakluk kepada peruntukan Perkara 40 dan peruntukan Perkara ini,Yang diPertuan Agong hendaklah menjalankan tugas-tugasnya dibawah Perlembagaan ini dan di bawah undang-undang Persekutuan mengikut apa-apa cara sebagaimana yang perlu untuk memelihara kedudukan istemewa orang Melayu dan bumiputra mana-mana negeri Borneo dan juga untuk menentukan perezaban bagi orang Melayu dan bumiputra mana-mana negeri-negeri Sabah dan Sarawak suatu kadar yang difikirkan patut oleh Yang diPertuan Agong mengenai jawatan dalam perkhidmatan awam9lain daripada perkhidmatan awam sesuatu negeri) dan mengenai biasiswa,bantuan dan lain-lain keistemewaan pelajaran atau latihan yang seumpamanya atau lain-lain kemudahan khas yang diberik atau diadakan oleh Kerajaan Persekutuan dan sesuatu kadar yang difikirkan patut oleh Yang diPertuan Agong mengenai permit atau lessen bagi menjalankan apa-apa tred atau perniagaan,dan perezapan permit dan lessen itu adalah tertakluk kepada peruntukan undang-undang itu dan Perkara ini.

Dan seterusnya(3),(4),(5),(6),(7),(8)(8A),(9),(9A)(10).
Dalam Perkara 153(10) dikatakan:Perlembagaan bagi Negeri yang berRaja boleh membuat peruntukan-peruntukan yang bersamaan(dengan apa-apa pengubahsuaian yang perlu)dengan peruntukan-peruntukan Perkara ini.(11). Ini bermakna bahawa satu peruntukan perlembagaan mengenai Kedudukan Istemewa Orang Melayu telah diletakkan dalam sebuah perjanjian dengan British oleh Raja-Raja Melayu sebelum merdeka,telah dilangsungkan dalam Perlembagaan Merdeka dan Malaysia.Kebimbangan Raja-Raja Melayu  keatas rakyatnya dapat dimasukkan dalam Perlembagaan yang berterusan sehingga kehari ini.Dengan pembentukan Malaysia, keistemewaan itu diperpanjangkan kepada anak negeri Sabah dan Sarawak.Satu perkara yang patut diingat bahawa Kedudukan Istemewa Melayu itu tidak mengurangkan kedudukan kaum-kaum lain dalam Malaysia.Apa yang diperuntukan kepada DYMM Yang diPertuan Agong ialah hak untuk membuat quota tertentu bagi orang Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak dalam biasiswa,permit  dan lesen perdagangan dan perniagaan,perkhidmatan awam  dan latihan serta peluang pendidikan diuniversiti,maktab dan kolej.Parlimen juga tidak boleh membuat  undang-undang menyekat perezapan quota ini.Raja-Raja Melayu diperingkat negeri boleh menggunakan peruntukan ini dinegeri masing-masing.Wasiat Raja-Raja Melayu yang ketujuh itu telah dapat diamanahkan secara berperlembagaan bagi rakyat Raja-Raja Melayu  Malaysia.


Kesimpulan

7 Wasiat Raja-Raja Melayu yang ditandatangani pada 5 Ogos 1957,adalah satu ingatan dan amanah Raja-Raja Melayu bagi rakyatnya orang Melayu supaya menjaganya dengan baik .Semua Wasiat itu telah dimasukkan kemudian dalam Perlembagaan Merdeka 1957 sebagai satu persetujuan oleh semua rakyat pelbagai kaum pada masa itu.Perluasan kerakyatan kepada semua orang yang lahir dalam Persekutuan Tanah Melayu ,yang dilaksanakan pada 1957,telah menjadi satu tukarganti kepada kedudukan istemewa Melayu yang telah diasaskan pada Perjanjian Persekutuan 1948.Perkara-perkara lain yang telah dimasukkan dalam  Wasiat itu adalah perkara-perkara yang telah berlaku lama sebelum kedatangan kuasa barat keatas Tanah Melayu.Ia adalah perkara-perkara yang telah menjadi asas tamadun bangsa dan kerajaan Melayu,yang diasaskan oleh empayer Melaka.Kedudukanan Raja sebagai ketua pemerintah,Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan lingua franca,agama Islam sebagai agama dan cara hidup,Askar Melayu DiRaja sebagai pasukan tentera Melayu,Tanah Simpanan Melayu sebagai menjaga tanah miliknya dan nama Persekutuan Tanah Melayu sebagai negaranya,adalah hal-hal tradisional bagi Negara bangsa Malaysia.Namun,system pentadbiran dan kenegaraan yang mengamalkan Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen ini,telah berjaya mengadun dan menjalankan kedua-dua sistem yang lama dan baru ini dengan baik dan berjalan licin selama 55 tahun ini.Perubahan perspektif mungkin berlaku kerana perubahaan masa dan persekitarannya,namun,kedudukan pemerintahan BerRaja sebagai pengimbang kepada sistem pentadbiran dan pengurusan Negara yang diterajui oleh rakyat itu sendiri.Wasiat ini juga ingin mengekalkan tanggungjawab orang Melayu untuk menjaga hal-hal yang berkaitan dengan mereka dalam Negara Malaysia yang bersifat majmuk rakyatnya.Rakyat Malaysia juga diseur oleh Raja-Raja Melayu yang kini menjadi Raja-Raja Malaysia untuk terus bekerjasama dan berharmoni dalam Negara yang dahulunya bernama Persekutuan Tanah Melayu tetapi kini telah bernama Malaysia.7 Wasiat Raja-Raja itu tetap releven sehingga kehari ini kerana telah dimetrikan dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia,yang diguna-pakai sehingga kehari ini.


Nota Hujung

(1)Untuk keterangan lanjut mengenai sistem kerajaan Melayu ini lihat Sejarah Melayu,Fajar Bakti,K.Lumpur.)

(2)Untuk keterangan lanjut mengenai perluasan kerakyatan ini lihat R.K.Vasil,1974.Politics In Plural Society,K.lumpur:Oxsford Universiti Press.)

(3)PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN sehinnga 15 Mei 2008.Petaling Jaya:International Law Book Services,muka surat 1.

(4)PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN SEHINGGA 15 Mei,2008.Petaling Jaya:International Law Book Services,ms 56-58.

(5)Ramlah Adam,Dato’ Onn Ja’afar Pengasas Kemerdekaan,2005.K.Lumpur:Dewan Bahasa dan Pustaka,ms 262,272,274.

(6)PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN sehingga 15 Mei 2008.Petaling Jaya:International Law Book Services,ms 19-29,34-41,67,84,88,90,91,99,102-104,107,110,111-114,128-129.

(7) PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN,15 Mei 2008.Petaling Jaya:International Law Book Services,ms.1-2.

(8)PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN,15 Mei 2008.Petaling Jaya:International Law Book Services,ms 110-111.

(9) CO 537/1541,Sir MacMicheal,Negotiations with the Malay Rulers.

(10) Untuk keterangan lanjut lihat Ramlah Adam,2005.Dato’ Onn Ja’afar Pengasas Kemerdekaan,K.Lumpur:Dewan Bahasa Dan Pustaka,muka surat 85-119.

(11)PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN(hingga 15 Mei 2008.Petaling Jaya:International Law Book Services,ms 111-114

2 comments:

  1. The whole article is suspect. There is not a single footnote that is cited in support of the wasiat raja-raja melayu. All honest historians who are well versed in Malaysian history must come together and get to the roots of this shameful historical propoganda.

    ReplyDelete
  2. PROFESSOR DI MANA DAPAT WASIAT INI.
    SUMBER MANA?

    ReplyDelete